Hari ini aku puasa ganti. Hihi (Itu pun nak bagitahu satu Malaysia kee, dah la baru nak ganti..errrr).. Kalau korang perasan la sekarang ni dah bulan Rejab dan dah masuk hari ke-23 dah. Tak lama lagi, dah nak masuk Syaaban dan seterusnya Ramadhan. Macam cepat je kan masa berlalu. Korang dah ganti puasa ke tak?? Hehehe.
Dalam bulan Rejab ada satu peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu Peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa Israk Mikraj ni berlaku pada 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Peristiwa tersebut merupakan satu anugerah tertinggi yang hanya dikurniakan kepada Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W.
Pada bulan Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda, telah dianggap sebagai tahun dukacita bagi Baginda. Ini kerana pada tahun tersebut beliau telah kehilangan dua insan kesayangan Baginda iaitu isteri Baginda yang tercinta, Siti Khadijah. Tidak lama selepas, Baginda telah menerima satu berita sedih iaitu kehilangan bapa saudara kesayangan Baginda, Abu Talib. Macam yang korang belajar dan tahu selama ni pasal sejarah Islam, kedua-dua insan tersebut orang yang paling banyak membantu Baginda dalam menyebarkan syariat Islam. Mereka bersama-sama Baginda telah menghadapi ancaman yang dasyat dari Kafir Quraisy Malah, sanggup bersusah-payah dan menghadapi fitnah jahat daripada penentang Islam.
Oleh itu, peristiwa Israk Mikraj adalah satu peristiwa untuk menghiburkan hati Baginda yang sedih. Israk bererti perjalanan Nabi saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Manakala Mikraj pula bermaksud perjalanan baginda saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh.
Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj ini Nabi S.A.W telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa suka dan duka; menghibur dan menakutkan silih berganti. Nabi SAW diiringi oleh Malaikat Jibril sepanjang peristiwa Israk dan Mikraj ini (kecuali ketika Rasullah SAW ke SidratulMuntaha bertemu Allah SWT). Nabi SAW ditunjukkan pelbagai bentuk penyeksaan ketika meninjau neraka. Misalnya Nabi SAW diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, pecah dan kemudian bertaut kembali seperti sediakala. Ini adalah hukuman bagi mereka yang ingkar mengerjakan solat. Nabi SAW juga melihat seksaan terhadap pemakan riba, penzina, pengumpat, pembuat fitnah dan lain-lain. Ini semua memberi peringatan agar kita menjauhinya semasa di dunia ini.
Baginda juga melihat keseronokan dan kesukaan mereka yang berada di dalam syurga. Nabi tercium bau yang semerbak daripada Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun. Nabi juga melihat sekumpulan orang yang tidak putus-putus menuai hasil (tanaman)- menandakan bahawa balasan bagi mereka yang suka menderma dan bersedekah semasa hayat mereka. Peristiwa besar dalam Israk dan Mikraj ini ialah apabila Rasulullah SAW menerima perintah mengerjakan solat. Berbeza dengan ibadat lain seperi puasa, haji, zakat, ibadat solat diterima secara langsung daripada Allah SWT.
Sesungguhnya, peristiwa yang berlaku ke atas Nabi SAW ini mencetuskan kontroversi di kalangan masyarakat Arab pada masa itu. Mereka tidak yakin dengan cerita Rasullah diisrak dan dimikrajkan dalam masa semalaman sahaja. Mereka menganggap itu hanyalah khayalan belaka. Bahkan tidak lebih daripada mainan mimpi. Malah bagi mereka yang sedia memusuhi baginda SAW terus melemparkan tohmahan mengatakan: Muhammad sudah gila! Mana mungkin pada akal mereka, perjalanan dari Mekah ke Palestin dengan kenderaan unta mengambil masa selama sebulan, boleh dilakukan oleh Nabi hanya semalaman sahaja. Begitu juga mereka juga menolak dakwaan Nabi SAW naik ke langit juga pada malam yang sama. Mereka memperolok-olokkan Baginda SAW dengan pelbagai ejekan. Mereka menolak mentah-mentah apa yang Nabi ceritakan.
Bagi orang-orang Arab yang memang menentang Nabi SAW, mereka menjaja ke merata tempat peristiwa yang dianggap ganjil ini. Bagi mereka yang mula menunjukkan minat agama yang dibawa Muhammad SAW, mula menjauhkan diri. Mereka yang lemah iman pula terus tertewas dan kembali kepada agama asal .Namun bagi mereka yang kuat iman, tetap tidak berganjak dan tetap mengakui kebenaran Muhammad SAW. Saidina Abu Bakar sendiri tanpa ragu-ragu mengiakan apa yang Nabi saw alami. Justeru beliau digelar As-Siddiq iaitu bermaksud 'Benar'.
Sesungguhnya, dengan kuasa Allah dan kehendakNya apa sahaja boleh berlaku. Nabi SAW menggunakan kenderaan Buraq (sepantas kilat) dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini. Sekiranya ia berlaku pada zaman ini, mungkin tidak siapa yang menganggap ia suatu yang mustahil. Dengan menggunakan kenderaan moden serta canggih seperti yang terdapat masa kini, beritahu sahaja ke mana sahaja ceruk rantau kita jelajahi tetap dipercayai, sekiranya kita berkemampuan. Dengan kemahuan dan keupayaan kita boleh sampai ke bulan atau lain-lain planet, juga menjejak kaki ke mana-mana sahaja yang kita hajati.
Itulah serba sedikit ye kawan-kawan aku nak share pasal peristiwa Israk Mikraj ni. Marilah kita sama-sama menjadikan peristiwa penting ini sebagai peringatan kepada kita. Sama-sama lah kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat, Insya Allah.
*** Sumber : http://www.msdwdc.org, Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment